KUALA LUMPUR 22 April – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi berkata, timbang tara merupakan kaedah penyelesaian pertikaian yang dilihat dapat memberikan faedah dari segi penguatkuasaan, kepakaran dan kerahsiaan ke atas penentuan berasaskan mahkamah.
Menurut beliau, proses timbang tara tidak eksklusif untuk mana-mana interaksi dengan badan kehakiman.
Sebaliknya mahkamah, katanya, mempunyai peranan penting untuk dimainkan yang disediakan secara percuma kepada penimbang tara.
Zaki berkata demikian ketika melancarkan buku Malaysian Arbitration Act 2005 (Akta Penimbang Tara 2005 -pindaan 2011) – Satu Penjelasan di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Zaki menyifatkan, kemunculan buku tersebut adalah tepat pada masanya.
Beliau berkata, penerbitannya memenuhi keperluan segera untuk memberi penjelasan dan pengumpulan bahan-bahan kes membabitkan Akta Penimbang Tara 2005 terutamanya dalam pindaan yang telah dikuatkuasakan pada tahun 2011.
”Setakat ini, tiada sumber rujukan yang luas dan cemerlang terutamanya untuk pembangunan akta dalam perundangan Malaysia bagi mereka yang inginkan panduan cepat dan boleh dipercayai untuk penimbang tara,” ujar Zaki.
Katanya, adalah jelas dan wajar difahami bahawa buku tersebut bukan sahaja akan menjadi rujukan yang praktikal untuk tindakan arbitrasi Malaysia bahkan analisis yang komprehensif dan berharga.
Yang turut hadir dalam majlis pelancaran buku tersebut ialah Pengarah Pusat Penimbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA), Datuk Sundra Rajoo; bekas Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee; Pengarah Urusan LexisNexis, Bart Sjoerdsma; dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen.
Buku tersebut merupakan penerbitan bersama yang pertama antara KLRCA dan LexisNexis.
Source: Utusan Malaysia
Published: Tuesday, 23 April 2013